Monday, June 30, 2014

Bubur Lambuk


Di bulan Ramadhan ni, teringat pula nak cuba pelbagai resepi arwah Mak. Antara yang tersedap untuk dicuba buat berbuka puasa ialah bubur lambuk. Resepi di bawah bukanlah resepi arwah Mak, tetapi bila baca macam harus dicuba. Apalagi...jom masuk dapur..

Bahan-bahan
  • Dua cawan beras dibersihkan
  • 300-500 gram daging dipotong dadu
  • 4 ulas bawang putih*
  • 1 biji bawang besar merah*
  • 1 genggam udang kering*
  • 1 kiub pati lembu
  • 1 sup bunjut
  • Rempah ratus : Bunga lawang,kulit kayu manis, lada hitam
  • 1 sudu halba
  • 2 helai daun pandan
  • 1/2 cawan santan
  • air secukupnya
Cara-cara
1. Bahan bertanda * ditumbuk halus atau dikisar terlebih dahulu
2. Panaskan minyak, masukkan bahan * yang telah ditumbuk halus dan juga rempah ratus. Goreng hingga layu.
3. Masukkan daging dan goreng seketika, kemudian masukkan air.
4. Masukkan beras yang dibasuh, tambahkan sup bunjut ,kiub pati lembu, daun pandan dan halba. Biarkan sehingga beras menjadi bubur. Tambah air jika perlu.
5. Masukkan air jika perlu, dan tambahkan santan. Gaul dan biarkan seketika sehingga mendidih.
6. Sebelum dimakan, tambangkan bawang goreng dan juga daun sup mengikut citarasa anda.Bubur Lambuk
* Kredit gambar dan resepi kepada Wanista      

Sunday, June 29, 2014

Ahlan wa sahlan Ramadhan Kareem



Ramadhan kembali menjengah, membawa seribu rahmat bersamanya.
Jika tahun lepas, Ramadhan ku sambut dengan rintihan dan munajat di atas dugaan kerja yang tak terbendung, tahun ini Ramadhan ku sambut dengan penuh rasa kesyukuran dan kegembiraan.
Mana tidaknya, walaupun sebenarnya rintihanku tidak layakpun untuk didengari apatah lagi dipenuhi...namun, Allah s.w.t adalah yang Maha Pemurah, Maha Mendengar, Maha Mengasihani dan Maha Pengasih...munajatku berbalas..syukur alhamdulillah.
Hari pertama Ramadhan, semua anak- anak ada di rumah, berbuka bersama. Tersentuh hatiku memandang kegembiraan Hakim, Najwa dan Adib menjamah makanan yang disediakan. Hatiku juga berbunga kegembiraan apabila anak- anak saudaraku yang ku kasihi, Izzati, Ilyani dan Muhammad sihat menyambut Ramadhan tahun ini. Juga aku bersyukur ya amat Ya Allah di atas kesihatan yang dikurniakan buat  anak saudaraku yang comel, Dayana...
Ya Allah, berilah aku kekuatan fizikal dan mental agar Ramadhan kali ini lebih bermakna buat kami sekeluarga...

Sunday, June 22, 2014

Alhamdulillah


 

Syukur alhamdulillah ya Allah...hanya ucapan itulah saja yang mampu aku ucapkan di atas ketentuanNya untuk aku dan keluarga menjejakkan kaki ke Haramain...dua Tanah Haram- Makkah Mukarramah dan Madinah Munawarah daripada 07 hingga 18 Jun 2014.

Walaupun tenaga tidak begitu mengizinkan aku lincah seperti dahulu...ku gagahi peluang yang terhidang sebagai tetamu Allah sedaya mungkin...

Ya Allah, ampunkanlah dosa- dosaku, terimalah amalanku dan kurniakanlah aku umrah yang mabrur....


Tuesday, June 3, 2014

Hajatku


Setelah lebih enam bulan memasang niat untuk menunaikan umrah dan sepanjang waktu itu, berurusan dengan agensi pengurusan umrah, dan setelah sebulan bermunajat agar aku dan keluargaku diterima Allah sebagai tetamuNya, semalam, lebih kurang jam 1.30 tengahari, aku mendapat berita yang amat menyedihkan, tiada visa untuk kami ke Baitullah.

Walau berlapikkan keimanan kepada qada dan qadar juga rezeki serta seribu satu ilmu tentang ketentuan Allah, menitik juga air mataku laju apabila khabar ini disampaikan kepadaku. Dengan berat hati, ku khabarkan berita sedih ini kepada dua insan yang paling dekat denganku, setelah pemergian arwah Emak dan Abah tercinta, suami dan adik perempuanku. Berbagai perasaan berbaur di dada tanda kesedihan yang amat sedang kulalui ketika itu.

Namun, rahsia dan ketentuan Allah, tiada ada tandingannya. Dalam jam sembilan malam, apabila bateri telefon bimbitku yang mati disebelah petangnya, sudah dicaj semula, ku dapati terdapat lima panggilan telah dibuat oleh agen umrahku kepada ku. Lalu, apabila berjaya menghubunginya, berita gembira tersampai kepadaku, kami sekeluarga, dengan izinNya, berjaya mendapat visa untuk menunaikan umrah pada tahun ini. Walaupun begitu, permohonan kami masih dalam proses namun peluang untuk pergi insyaAllah tinggi.

Alhamdulillah hi rabbil alamin
Segala puji bagiMu, tuhanku semesta alam
Engkaulah Yang Maha Pengasih lagi Maha Menyayangi

Menitis airmataku lagi....

Sunday, June 1, 2014

Ya Allah...dengarlah pintaku


Ya Allah, kasihanilah aku, Tuhanku yang Maha Mengasihani. 
Ya Allah, ampunkanlah dosa- dosaku, Tuhanku yang Maha Pengampun.
Ya Allah, dengarlah pinta hambaMu yang hina ini, yang mengharapkan belas kasihanMu.
Makbulkanlah pintaku, Ya Allah, Tuhan yang Maha Mendengar lagi Maha Berkuasa.

Ya Allah, terimalah aku dan rombongan keluargaku sebagai tetamu mu.
Permudahkanlah hajat kami untuk mengerjakan umrah minggu ini.
Kurniakanlah kami umrah yang mabrur.
Amin ya Rabbal Alamin.

Aku dan rombongan keluargaku masih menanti keputusan permohanan visa umrah kami...
Mengikut perancangan, kami insyaAllah akan bertolak ke Jeddah pada hari Sabtu, 07 Jun 2014.
Tapi masih menanti...Semoga hajat suci kami dimakbulkan Allah...