Monday, November 17, 2014

Seutas Kasih Penyambung Abadi...



Amat kurang selesa aku sebenarnya sekarang ini.
Ku renung sekeliling, hanya yang melintas di mataku adalah sesuatu yang asing. Ruang tamu rumah papan berminyak hitam, beratap nipah itu memang terlalu asing bagiku. Manakan tidak, ianya bukan rumah aku, rumah tempat aku bermain, bermanja dan selesa tidur, melunas mimpi- mimpi gadis seusiaku, gadis berumur 14 tahun.
Hanya yang menyedapkan sikit hati ku ialah susuk tubuh di sebelahku, susuk tubuh yang amat ku kenali, susuk tubuh ibuku yang sedang sarat mengandung, sedang berbual- bual dengan seorang perempuan separa baya, berkacamata dan agak gempal badannya. Di sebelah ibuku pula, aku agak kenal dengan lelaki yang turut berbual lembut, bersama- sama ibuku juga perempuan tua separa baya, berkacamata dan agak gempal badannya tadi. Mataku meleret ke jari- jemari lelaki yang aku agak kenal dan terlihat kemas genggamannya menggenggam jari jemari ibuku. Ahh...lelaki yang aku agak kenal itu adalah bapa tiriku dan dari perbaualan mereka, aku dapat meneka yang perempuan separa baya, berkacamata dan agak gempal badannya itu adalah kakak kepada bapa tiriku.

" Hajat saya Kak Chak, biarlah Rafeah bersalin di Parit Buntar ini", lembut bapa tiriku melontar kata.
" Tak ada masalah Johari. Berapa umur kandungan kamu, Rafeah?", balas kakak bapa tiriku.
" Dah dekat nak bersalin dah, Kak Chak. Dah cukup bulan", beritahu ibuku.

Aku yang termanggu- manggu, mendengar saja perbualan mereka. Tidak ku duga, saat yang menggusarkan itu adalah saat penting dalam hidupku. Tidak ku duga, saat aku hanya termanggu- manggu mendengar perbualan tiga dewasa ini adalah saat yang mengubah hidupku selama- lamanya...

Ya, namaku Salmah bt. Jumahat kelahiran Singapura. Ibuku bernama Rafeah bt. Abu, berketurunan Bugis berasal dari Makasar, Sulawesi, menetap di Singapura dan bapa tiriku adalah Johari bin Muhammad, adik kepada seorang guru al Quran, Puan Chik Chak bt. Muhammad,  wanita yang bakal mewarnai hidupku selama- lamanya....

Wednesday, October 8, 2014

Pati Delima Gulsan

Rasa- rasanya, sudah hampir empat tahun aku mula solat duduk. Walaupun bukan disemua waktu, disebabkan oleh sakit kakiku yang tak terbendung, solat duduk merupakan opsyen pilihanku. 

Namun, alhmadulillah, kira- kira sebulan lalu, ketikai usai solat Zuhur di surau pejabat baruku, terdengar sapaan mesra dari belakang. 
"Kak Fizah sakit kaki ke?". 
Pintas aku menoleh ke belakang untuk melihat siapa yang membuat sapaan. Oh! Suara mesra itu adalah milik Rina, seorang wanita muda yang lincah dan punya perawakan mesra.
"Yelah Rina, kena turunkan berat badan lagi ni...", jawabku bersahaja.
"Kak Fizah nak cuba tak Pati Delima Gulsan?", tanya Rina menyambung perbualan.
"Rina dah guna dan mujarab. Dulu, Rinapun sakit kaki tetapi sekarang tidak lagi, alhamdulillah", panjang terang Rina kepadaku yang terus- terusan melipat telekung.
"Ok, apa salahnya", jawabku positif.

Bermula daripada saat itulah aku menggunakan Pati Delima Gulsan. Sesudu makan diambil malam dan sesudu lagi selepas bangun pagi. Hasilnya, kakiku sungguh tidak sakit lagi tetapi lemah untuk duduk bangun masih bersisa walaupun telah banyak berkurangan. Rasa masam- masam manisnya juga menyebabkan seleraku agak terhad dan ini mengembirakan aku kerana terasa sedikit susut badanku dan bajuku loonggar selesa untuk dipakai.

Syukur Allah kerana memngizinkan saat Rina bersamaku menyebabkan aku bingkas berjalan seperti biasa semula dan solatku bertambah baik harapnya....Amin.

Keluarga berkumpul di Maninjau Chalet, Janda Baik, Pahang


Memang menjadi hasratku sekian lama untuk berkumpul bersama adik- beradikku dan keluarga di Janda Baik, Pahang Darul Makmur. Oleh itu, sebelum aku pergi mengerjakan umrah pada bulan Jun 2014 tempohari, dengan pelbagai maklumat yang ku perolehi daripada internet, aku telah menempah sebuah rumah kampung sebagai lokasi penginapan untuk pertemuan keluarga ini. Tarikh yang dipilih adalah pada 30 hingga 31 Ogos 2014.

Rumah berwarna hijau ini mempunyai 5 bilik tidur beserta 2 bilik air dan sebuah dapur yang agak besar. Ada disediakan dapur gas, peti ais, kipas, tv,' iron board' dan seterika. Ianya adalah salah satu tempat penginapan yang disediakan oleh Maninjau Chalet dan terletak berdekatan dengan Elektrisola (kilang agaknya kut). Harga yang dikenakan padaku amat berpatutan iaitu RM 350 untuk satu malam. Selain rumah kampung yang berwarna hijau ini, ada pelbagai jenis chalet lain yang disediakan di sini.

Apa yang menariknya ialah, kira- kira 100 meter dari rumah ini terdapat sungai untuk kami mandi- manda. Apalagi, walaupun kesejukan dek cuaca selepas hujan, seharian kami tiga keluarga berendam dalam air yang amat menyegarkan itu. Tempat ini menjadi lebih menarik apabila ianya dikelilingi oleh pohon- pohon buah- buahan tempatan. Sementalah pula sewaktu di Maninjau Chalet ini adalah dalam musim buah, seronok anak- anakku dan sepupu mereka mengait manggis, jambu dan dokong. Ini adalah pengalaman pertama anak- anak saudaraku mengait buah- buahan daripada pokok jadi pengalaman ini pastinya sukar untuk dilupakan mereka.

Di depan rumah hijau ini pula disediakan tempat berehat dan 'barbeque pitch'. Apalagi, ketika Maghrib menjelang, kami bersama- sama membakar daging, ikan, ayam dan lain- lain untuk santapan malam. Bertemankan angin sepoi- sepoi bahasa dan hujan rintik yang turun sewaktu itu, nasi goreng, barbeque, mashed potatoes dan coleslaw, semuanya kami habiskan.

Waktu malam dipenuhi dengan sembang- sembang santai sambil bergurau senda. Anak- anak pula meluangkan waktu bersama- sama. Melihat sekeliling, aku tahu hajatku tercapai.

Semalam di Maninjau Chalet, Janda Baik amat menyegar and menyeronokkan. Aku bersyukur diberi kesempatan ini oleh Allah swt untuk menikmati waktu berkualiti bersama- sama keluargaku. InsyaAllah, kami akan ke sini lagi.

Monday, August 4, 2014

Mualnya politik Malaysia...

  

Mualnya politik Malaysia...

Yang menang, penuh tanda tanya
Setiap masalah diam seribu bahasa
Ke mana arah rakyat, tiada tunjuk yang nyata
Apa yang keluar, hanya kenaikan kos sara hidup dan ayat- ayat pak menteri yang entah apa- apa...

Yang kalah difikir akan bekerja kuat untuk memastikan kemenangan di pilihan raya sekali lagi
Namun, apa yang terjadi..bergaduh nak tukar MB
Dahulu, orang itulah yang dipuji- puji
Kenapa sekarang semua yang keluar hanya yang keji...

Yang Islamik pula macam lupa diri
Mimpi belum sudah tapi lagak macam dah bangun pagi
Berangan boleh hidup sendiri tanpa bantuan yang berpelajaran duniawi
Mahupun rakan- rakan berlainanan latar diri
Tak sedarkah bahawa dunia dan akhirat harus sebati baru hidup berjaya dan diberkati

Kenapa tidak semua bekerja untuk yang mengundi, yang membayar cukai itu dan ini
Mereka adalah RAKYAT NEGARA INI!
Negara Malaysia yang dicintai....

Mualnya pilitik Malaysia
Apabila politikus hanya memikirkan soal mereka....
Apa nak jadi pada anak bangsa....






Thursday, July 24, 2014

Selamat Hari Raya Aidil Fitri

 

Selamat Hari Raya Aidil Fitri yang mulia
Jari ku susun, mohon ampun dan maaf di atas segala kekhilafanku selama ini


Kenangan Aidil Fitri Bersama Mak

                           
Dalam sendirian menghadap komputer peribadiku, bertemankan lagu raya yang sayup- sayup berkumandang diradio, kenanganku melangkau jauh, mengenang suasana Aidil Fitri tatkala arwah Mak masih ada.

Jikalau dulu sewaktu arwah Mak masih ada, 3 hari sebelum Aidil Fitri, sudah tentu berderet balang kueh aneka jenis buatan sendiri beratur di atas almari. Kueh Bangkit, Biskut Jakarta, Biskut Roda Dunia, Biskut Rosemary Jam, Biskut Sultana, Biskut Kelapa dan Kueh Sugi sudah tentu beratur kemas untuk dihidangkan.

Jikalau dulu, sewaktu arwah Mak masih ada, 3 hari sebelum Aidil Fitri, sudah tentu langsir tergantung kemas menambah warna- warni kegembiraan kami sekeluarga di rumah. Sudah tentu tingkap kaca silau berkilat, perabut bersih tiada habuk dan alas meja cantik berhias. Di luar, pokok bunga berseri- seri menanti sahabat handai rakan taulan bertandang dengan senyuman tawa manambah kebahagian dan seri di Aidil Fitri.

Jikalau dulu, sewaktu arwah Mak masih ada, 3 hari sebelum Aidil Fitri, daun palas kemas dibalut suratkhabar terletak di atas kabinet dapur, rempah ratus harum semerbak untuk ditumbuk buat tumisan rendang daging dan ayam ataupun nasi minyak santapan bersama. Sudah tentu juga, baju kurung dan melayu kemas bergosok tergantung dalam almari, telekung putih kemas berlipat didalam beg untuk dibawa ke masjid di pagi Aidil Fitri.

Namun kini, semuanya hanya tinggal kenangan. Arwah Mak telah pergi selamanya. Tiada lagi suara arwah Mak mengatur sempurna segalanya sebelum Aidil Fitri. Tiada lagi senyum tawa ria arwah Mak dikelilingi cucu tersayang dan yang pasti, tiada lagi jari jemari arwah Mak untuk dikucup, memohon ampun dan maaf, di pagi Aidil Fitri.

Mak! Walau rindu menerjah hebat, walau beribu airmata berguguran, aku pasrah Mak pergi bertemu Penciptamu. Doaku sentiasa agar Mak ditempatkan dalam kalangan orang- orang yang soleh.

Thursday, July 17, 2014

Cerita sedih hari ini...



Hari ini sepatutnya bermula 10 hari terakhir di bulan Ramadhan pada tahun ini.
Ia sepatutnya hari yang ditunggu- tunggu oleh umat Islam seluruhnya dek kerana rahmat yang terkandung dalam satu malam yang tak tertentu, Lailatul Qadar.

Namun, hari ini merupakan hari yang amat sedih buat diriku...

  • MH17/ 17Jul14 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak tepat di sempadan Ukraine- Russia
  • Zionist laknatullah memulakan serangan darat ke atas rakyat Gaza...
  • Sabah dicerobohi lagi oleh tentera Sulu
Lalu aku menyeru...


Amin amin...ya Rabbal Alamin....