Wednesday, October 8, 2014

Keluarga berkumpul di Maninjau Chalet, Janda Baik, Pahang


Memang menjadi hasratku sekian lama untuk berkumpul bersama adik- beradikku dan keluarga di Janda Baik, Pahang Darul Makmur. Oleh itu, sebelum aku pergi mengerjakan umrah pada bulan Jun 2014 tempohari, dengan pelbagai maklumat yang ku perolehi daripada internet, aku telah menempah sebuah rumah kampung sebagai lokasi penginapan untuk pertemuan keluarga ini. Tarikh yang dipilih adalah pada 30 hingga 31 Ogos 2014.

Rumah berwarna hijau ini mempunyai 5 bilik tidur beserta 2 bilik air dan sebuah dapur yang agak besar. Ada disediakan dapur gas, peti ais, kipas, tv,' iron board' dan seterika. Ianya adalah salah satu tempat penginapan yang disediakan oleh Maninjau Chalet dan terletak berdekatan dengan Elektrisola (kilang agaknya kut). Harga yang dikenakan padaku amat berpatutan iaitu RM 350 untuk satu malam. Selain rumah kampung yang berwarna hijau ini, ada pelbagai jenis chalet lain yang disediakan di sini.

Apa yang menariknya ialah, kira- kira 100 meter dari rumah ini terdapat sungai untuk kami mandi- manda. Apalagi, walaupun kesejukan dek cuaca selepas hujan, seharian kami tiga keluarga berendam dalam air yang amat menyegarkan itu. Tempat ini menjadi lebih menarik apabila ianya dikelilingi oleh pohon- pohon buah- buahan tempatan. Sementalah pula sewaktu di Maninjau Chalet ini adalah dalam musim buah, seronok anak- anakku dan sepupu mereka mengait manggis, jambu dan dokong. Ini adalah pengalaman pertama anak- anak saudaraku mengait buah- buahan daripada pokok jadi pengalaman ini pastinya sukar untuk dilupakan mereka.

Di depan rumah hijau ini pula disediakan tempat berehat dan 'barbeque pitch'. Apalagi, ketika Maghrib menjelang, kami bersama- sama membakar daging, ikan, ayam dan lain- lain untuk santapan malam. Bertemankan angin sepoi- sepoi bahasa dan hujan rintik yang turun sewaktu itu, nasi goreng, barbeque, mashed potatoes dan coleslaw, semuanya kami habiskan.

Waktu malam dipenuhi dengan sembang- sembang santai sambil bergurau senda. Anak- anak pula meluangkan waktu bersama- sama. Melihat sekeliling, aku tahu hajatku tercapai.

Semalam di Maninjau Chalet, Janda Baik amat menyegar and menyeronokkan. Aku bersyukur diberi kesempatan ini oleh Allah swt untuk menikmati waktu berkualiti bersama- sama keluargaku. InsyaAllah, kami akan ke sini lagi.

No comments:

Post a Comment