Monday, November 17, 2014

Seutas Kasih Penyambung Abadi...



Amat kurang selesa aku sebenarnya sekarang ini.
Ku renung sekeliling, hanya yang melintas di mataku adalah sesuatu yang asing. Ruang tamu rumah papan berminyak hitam, beratap nipah itu memang terlalu asing bagiku. Manakan tidak, ianya bukan rumah aku, rumah tempat aku bermain, bermanja dan selesa tidur, melunas mimpi- mimpi gadis seusiaku, gadis berumur 14 tahun.
Hanya yang menyedapkan sikit hati ku ialah susuk tubuh di sebelahku, susuk tubuh yang amat ku kenali, susuk tubuh ibuku yang sedang sarat mengandung, sedang berbual- bual dengan seorang perempuan separa baya, berkacamata dan agak gempal badannya. Di sebelah ibuku pula, aku agak kenal dengan lelaki yang turut berbual lembut, bersama- sama ibuku juga perempuan tua separa baya, berkacamata dan agak gempal badannya tadi. Mataku meleret ke jari- jemari lelaki yang aku agak kenal dan terlihat kemas genggamannya menggenggam jari jemari ibuku. Ahh...lelaki yang aku agak kenal itu adalah bapa tiriku dan dari perbaualan mereka, aku dapat meneka yang perempuan separa baya, berkacamata dan agak gempal badannya itu adalah kakak kepada bapa tiriku.

" Hajat saya Kak Chak, biarlah Rafeah bersalin di Parit Buntar ini", lembut bapa tiriku melontar kata.
" Tak ada masalah Johari. Berapa umur kandungan kamu, Rafeah?", balas kakak bapa tiriku.
" Dah dekat nak bersalin dah, Kak Chak. Dah cukup bulan", beritahu ibuku.

Aku yang termanggu- manggu, mendengar saja perbualan mereka. Tidak ku duga, saat yang menggusarkan itu adalah saat penting dalam hidupku. Tidak ku duga, saat aku hanya termanggu- manggu mendengar perbualan tiga dewasa ini adalah saat yang mengubah hidupku selama- lamanya...

Ya, namaku Salmah bt. Jumahat kelahiran Singapura. Ibuku bernama Rafeah bt. Abu, berketurunan Bugis berasal dari Makasar, Sulawesi, menetap di Singapura dan bapa tiriku adalah Johari bin Muhammad, adik kepada seorang guru al Quran, Puan Chik Chak bt. Muhammad,  wanita yang bakal mewarnai hidupku selama- lamanya....

Wednesday, October 8, 2014

Pati Delima Gulsan

Rasa- rasanya, sudah hampir empat tahun aku mula solat duduk. Walaupun bukan disemua waktu, disebabkan oleh sakit kakiku yang tak terbendung, solat duduk merupakan opsyen pilihanku. 

Namun, alhmadulillah, kira- kira sebulan lalu, ketikai usai solat Zuhur di surau pejabat baruku, terdengar sapaan mesra dari belakang. 
"Kak Fizah sakit kaki ke?". 
Pintas aku menoleh ke belakang untuk melihat siapa yang membuat sapaan. Oh! Suara mesra itu adalah milik Rina, seorang wanita muda yang lincah dan punya perawakan mesra.
"Yelah Rina, kena turunkan berat badan lagi ni...", jawabku bersahaja.
"Kak Fizah nak cuba tak Pati Delima Gulsan?", tanya Rina menyambung perbualan.
"Rina dah guna dan mujarab. Dulu, Rinapun sakit kaki tetapi sekarang tidak lagi, alhamdulillah", panjang terang Rina kepadaku yang terus- terusan melipat telekung.
"Ok, apa salahnya", jawabku positif.

Bermula daripada saat itulah aku menggunakan Pati Delima Gulsan. Sesudu makan diambil malam dan sesudu lagi selepas bangun pagi. Hasilnya, kakiku sungguh tidak sakit lagi tetapi lemah untuk duduk bangun masih bersisa walaupun telah banyak berkurangan. Rasa masam- masam manisnya juga menyebabkan seleraku agak terhad dan ini mengembirakan aku kerana terasa sedikit susut badanku dan bajuku loonggar selesa untuk dipakai.

Syukur Allah kerana memngizinkan saat Rina bersamaku menyebabkan aku bingkas berjalan seperti biasa semula dan solatku bertambah baik harapnya....Amin.

Keluarga berkumpul di Maninjau Chalet, Janda Baik, Pahang


Memang menjadi hasratku sekian lama untuk berkumpul bersama adik- beradikku dan keluarga di Janda Baik, Pahang Darul Makmur. Oleh itu, sebelum aku pergi mengerjakan umrah pada bulan Jun 2014 tempohari, dengan pelbagai maklumat yang ku perolehi daripada internet, aku telah menempah sebuah rumah kampung sebagai lokasi penginapan untuk pertemuan keluarga ini. Tarikh yang dipilih adalah pada 30 hingga 31 Ogos 2014.

Rumah berwarna hijau ini mempunyai 5 bilik tidur beserta 2 bilik air dan sebuah dapur yang agak besar. Ada disediakan dapur gas, peti ais, kipas, tv,' iron board' dan seterika. Ianya adalah salah satu tempat penginapan yang disediakan oleh Maninjau Chalet dan terletak berdekatan dengan Elektrisola (kilang agaknya kut). Harga yang dikenakan padaku amat berpatutan iaitu RM 350 untuk satu malam. Selain rumah kampung yang berwarna hijau ini, ada pelbagai jenis chalet lain yang disediakan di sini.

Apa yang menariknya ialah, kira- kira 100 meter dari rumah ini terdapat sungai untuk kami mandi- manda. Apalagi, walaupun kesejukan dek cuaca selepas hujan, seharian kami tiga keluarga berendam dalam air yang amat menyegarkan itu. Tempat ini menjadi lebih menarik apabila ianya dikelilingi oleh pohon- pohon buah- buahan tempatan. Sementalah pula sewaktu di Maninjau Chalet ini adalah dalam musim buah, seronok anak- anakku dan sepupu mereka mengait manggis, jambu dan dokong. Ini adalah pengalaman pertama anak- anak saudaraku mengait buah- buahan daripada pokok jadi pengalaman ini pastinya sukar untuk dilupakan mereka.

Di depan rumah hijau ini pula disediakan tempat berehat dan 'barbeque pitch'. Apalagi, ketika Maghrib menjelang, kami bersama- sama membakar daging, ikan, ayam dan lain- lain untuk santapan malam. Bertemankan angin sepoi- sepoi bahasa dan hujan rintik yang turun sewaktu itu, nasi goreng, barbeque, mashed potatoes dan coleslaw, semuanya kami habiskan.

Waktu malam dipenuhi dengan sembang- sembang santai sambil bergurau senda. Anak- anak pula meluangkan waktu bersama- sama. Melihat sekeliling, aku tahu hajatku tercapai.

Semalam di Maninjau Chalet, Janda Baik amat menyegar and menyeronokkan. Aku bersyukur diberi kesempatan ini oleh Allah swt untuk menikmati waktu berkualiti bersama- sama keluargaku. InsyaAllah, kami akan ke sini lagi.

Monday, August 4, 2014

Mualnya politik Malaysia...

  

Mualnya politik Malaysia...

Yang menang, penuh tanda tanya
Setiap masalah diam seribu bahasa
Ke mana arah rakyat, tiada tunjuk yang nyata
Apa yang keluar, hanya kenaikan kos sara hidup dan ayat- ayat pak menteri yang entah apa- apa...

Yang kalah difikir akan bekerja kuat untuk memastikan kemenangan di pilihan raya sekali lagi
Namun, apa yang terjadi..bergaduh nak tukar MB
Dahulu, orang itulah yang dipuji- puji
Kenapa sekarang semua yang keluar hanya yang keji...

Yang Islamik pula macam lupa diri
Mimpi belum sudah tapi lagak macam dah bangun pagi
Berangan boleh hidup sendiri tanpa bantuan yang berpelajaran duniawi
Mahupun rakan- rakan berlainanan latar diri
Tak sedarkah bahawa dunia dan akhirat harus sebati baru hidup berjaya dan diberkati

Kenapa tidak semua bekerja untuk yang mengundi, yang membayar cukai itu dan ini
Mereka adalah RAKYAT NEGARA INI!
Negara Malaysia yang dicintai....

Mualnya pilitik Malaysia
Apabila politikus hanya memikirkan soal mereka....
Apa nak jadi pada anak bangsa....






Thursday, July 24, 2014

Selamat Hari Raya Aidil Fitri

 

Selamat Hari Raya Aidil Fitri yang mulia
Jari ku susun, mohon ampun dan maaf di atas segala kekhilafanku selama ini


Kenangan Aidil Fitri Bersama Mak

                           
Dalam sendirian menghadap komputer peribadiku, bertemankan lagu raya yang sayup- sayup berkumandang diradio, kenanganku melangkau jauh, mengenang suasana Aidil Fitri tatkala arwah Mak masih ada.

Jikalau dulu sewaktu arwah Mak masih ada, 3 hari sebelum Aidil Fitri, sudah tentu berderet balang kueh aneka jenis buatan sendiri beratur di atas almari. Kueh Bangkit, Biskut Jakarta, Biskut Roda Dunia, Biskut Rosemary Jam, Biskut Sultana, Biskut Kelapa dan Kueh Sugi sudah tentu beratur kemas untuk dihidangkan.

Jikalau dulu, sewaktu arwah Mak masih ada, 3 hari sebelum Aidil Fitri, sudah tentu langsir tergantung kemas menambah warna- warni kegembiraan kami sekeluarga di rumah. Sudah tentu tingkap kaca silau berkilat, perabut bersih tiada habuk dan alas meja cantik berhias. Di luar, pokok bunga berseri- seri menanti sahabat handai rakan taulan bertandang dengan senyuman tawa manambah kebahagian dan seri di Aidil Fitri.

Jikalau dulu, sewaktu arwah Mak masih ada, 3 hari sebelum Aidil Fitri, daun palas kemas dibalut suratkhabar terletak di atas kabinet dapur, rempah ratus harum semerbak untuk ditumbuk buat tumisan rendang daging dan ayam ataupun nasi minyak santapan bersama. Sudah tentu juga, baju kurung dan melayu kemas bergosok tergantung dalam almari, telekung putih kemas berlipat didalam beg untuk dibawa ke masjid di pagi Aidil Fitri.

Namun kini, semuanya hanya tinggal kenangan. Arwah Mak telah pergi selamanya. Tiada lagi suara arwah Mak mengatur sempurna segalanya sebelum Aidil Fitri. Tiada lagi senyum tawa ria arwah Mak dikelilingi cucu tersayang dan yang pasti, tiada lagi jari jemari arwah Mak untuk dikucup, memohon ampun dan maaf, di pagi Aidil Fitri.

Mak! Walau rindu menerjah hebat, walau beribu airmata berguguran, aku pasrah Mak pergi bertemu Penciptamu. Doaku sentiasa agar Mak ditempatkan dalam kalangan orang- orang yang soleh.

Thursday, July 17, 2014

Cerita sedih hari ini...



Hari ini sepatutnya bermula 10 hari terakhir di bulan Ramadhan pada tahun ini.
Ia sepatutnya hari yang ditunggu- tunggu oleh umat Islam seluruhnya dek kerana rahmat yang terkandung dalam satu malam yang tak tertentu, Lailatul Qadar.

Namun, hari ini merupakan hari yang amat sedih buat diriku...

  • MH17/ 17Jul14 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak tepat di sempadan Ukraine- Russia
  • Zionist laknatullah memulakan serangan darat ke atas rakyat Gaza...
  • Sabah dicerobohi lagi oleh tentera Sulu
Lalu aku menyeru...


Amin amin...ya Rabbal Alamin....

Thursday, July 10, 2014

I am with you, Gaza!

                            
                                
This is my oath! 
I am with you, Gaza!
Those who are the enemies to the people of Gaza, should be condemned, both on earth and after- life. No question asked.
To my brothers and sisters that have a chance to visit this writing, please spend time to read the Qunut Nazilah which is as below:

                             

O Allah! Guide me along with those who have been guided aright and grant me safety along with those who have been granted safety and patronise me along with those who have been patronised and add your blessing to what You have given me and save me from the injurious effects to what you have ordained. You alone dispose and no other can dispose against you. One who is under Your Protection cannot be lowered. You are full of blessing and Most High.
O Allah forgive all the Mu ‘min men and women and all Muslim men and women. Unite their hearts with mutual love and set aright their mutual affairs and help them against Your and their enemies. 0 Allah let Your curse be on those disbelievers from among the people of the book who belie the Prophets and who fight Your chosen ones. 0 Allah disunite them and shake their feet and send upon them your punishment, which you do not turn away from sinning people.

Monday, July 7, 2014

Gelagat yang bernama suami

Aku memang minat membaca dan menulis. Sehari- hari, aku boleh habiskan hanya dengan membaca novel atau mengarang cerita. Tidak memasak- tiada masalah; tidak mengemas- tiada masalah dan tidak membasuh- tiada masalah. Semuanya ok sahaja asalkan aku dapat membaca atau menulis.

Tetapi tidak buat suamiku. Hobi beliau adalah menonton, menonton dan menonton. Apabila ada waktu lapang, beliau tidak berkira masa untuk menonton filem- tak kiralah filem Hollywoodkah, Bollywoodkah, hatta filem dari Bangladeshpun ok bagi beliau- asalkan ianya bermutu daripada segi ratingnya.

Setiap filem yang ditonton, selalunya akan dikongsi bersamaku. Setiap adegan sedih, adegan gembira mahupun adegan lucu, semuanya dikongsi bersama. 

Jadi, agak terkejut juga aku, sewaktu dalam kereta pulang dari kerja, beliau bercerita tentang satu plot cerita- cerita Melayu. Jangkaku, ianya satu drama Melayu yang baru ditontonnya, tetapi tidak.

" Inilah cerita yang Abang akan arahkan nanti", kata suamiku.sambil tersenyum.
Hah! nak mengarah pula sekarang suamiku ini..he he
Lalu sepanjang perjalanan itu dipenuhi dengan idea untuk filem yang bakal diarahkan oleh suamiku...apa plot ceritanya, siapa pelakonnya dan di mana pengambarannya...

Sampai di rumah, pelbagai rasa dapat ku rasai...rasa puas dapat bersama dalam pengembaraan idea suamiku...dapat bersama bergelak ketawa merapu mencari pelakon yang akan menjayakan watak khayalan suamiku dan dapat bersama menghabiskan masa berdua.

Ya Allah! Alhamdulillah di atas kebahagiaan ini...

Monday, June 30, 2014

Bubur Lambuk


Di bulan Ramadhan ni, teringat pula nak cuba pelbagai resepi arwah Mak. Antara yang tersedap untuk dicuba buat berbuka puasa ialah bubur lambuk. Resepi di bawah bukanlah resepi arwah Mak, tetapi bila baca macam harus dicuba. Apalagi...jom masuk dapur..

Bahan-bahan
  • Dua cawan beras dibersihkan
  • 300-500 gram daging dipotong dadu
  • 4 ulas bawang putih*
  • 1 biji bawang besar merah*
  • 1 genggam udang kering*
  • 1 kiub pati lembu
  • 1 sup bunjut
  • Rempah ratus : Bunga lawang,kulit kayu manis, lada hitam
  • 1 sudu halba
  • 2 helai daun pandan
  • 1/2 cawan santan
  • air secukupnya
Cara-cara
1. Bahan bertanda * ditumbuk halus atau dikisar terlebih dahulu
2. Panaskan minyak, masukkan bahan * yang telah ditumbuk halus dan juga rempah ratus. Goreng hingga layu.
3. Masukkan daging dan goreng seketika, kemudian masukkan air.
4. Masukkan beras yang dibasuh, tambahkan sup bunjut ,kiub pati lembu, daun pandan dan halba. Biarkan sehingga beras menjadi bubur. Tambah air jika perlu.
5. Masukkan air jika perlu, dan tambahkan santan. Gaul dan biarkan seketika sehingga mendidih.
6. Sebelum dimakan, tambangkan bawang goreng dan juga daun sup mengikut citarasa anda.Bubur Lambuk
* Kredit gambar dan resepi kepada Wanista      

Sunday, June 29, 2014

Ahlan wa sahlan Ramadhan Kareem



Ramadhan kembali menjengah, membawa seribu rahmat bersamanya.
Jika tahun lepas, Ramadhan ku sambut dengan rintihan dan munajat di atas dugaan kerja yang tak terbendung, tahun ini Ramadhan ku sambut dengan penuh rasa kesyukuran dan kegembiraan.
Mana tidaknya, walaupun sebenarnya rintihanku tidak layakpun untuk didengari apatah lagi dipenuhi...namun, Allah s.w.t adalah yang Maha Pemurah, Maha Mendengar, Maha Mengasihani dan Maha Pengasih...munajatku berbalas..syukur alhamdulillah.
Hari pertama Ramadhan, semua anak- anak ada di rumah, berbuka bersama. Tersentuh hatiku memandang kegembiraan Hakim, Najwa dan Adib menjamah makanan yang disediakan. Hatiku juga berbunga kegembiraan apabila anak- anak saudaraku yang ku kasihi, Izzati, Ilyani dan Muhammad sihat menyambut Ramadhan tahun ini. Juga aku bersyukur ya amat Ya Allah di atas kesihatan yang dikurniakan buat  anak saudaraku yang comel, Dayana...
Ya Allah, berilah aku kekuatan fizikal dan mental agar Ramadhan kali ini lebih bermakna buat kami sekeluarga...

Sunday, June 22, 2014

Alhamdulillah


 

Syukur alhamdulillah ya Allah...hanya ucapan itulah saja yang mampu aku ucapkan di atas ketentuanNya untuk aku dan keluarga menjejakkan kaki ke Haramain...dua Tanah Haram- Makkah Mukarramah dan Madinah Munawarah daripada 07 hingga 18 Jun 2014.

Walaupun tenaga tidak begitu mengizinkan aku lincah seperti dahulu...ku gagahi peluang yang terhidang sebagai tetamu Allah sedaya mungkin...

Ya Allah, ampunkanlah dosa- dosaku, terimalah amalanku dan kurniakanlah aku umrah yang mabrur....


Tuesday, June 3, 2014

Hajatku


Setelah lebih enam bulan memasang niat untuk menunaikan umrah dan sepanjang waktu itu, berurusan dengan agensi pengurusan umrah, dan setelah sebulan bermunajat agar aku dan keluargaku diterima Allah sebagai tetamuNya, semalam, lebih kurang jam 1.30 tengahari, aku mendapat berita yang amat menyedihkan, tiada visa untuk kami ke Baitullah.

Walau berlapikkan keimanan kepada qada dan qadar juga rezeki serta seribu satu ilmu tentang ketentuan Allah, menitik juga air mataku laju apabila khabar ini disampaikan kepadaku. Dengan berat hati, ku khabarkan berita sedih ini kepada dua insan yang paling dekat denganku, setelah pemergian arwah Emak dan Abah tercinta, suami dan adik perempuanku. Berbagai perasaan berbaur di dada tanda kesedihan yang amat sedang kulalui ketika itu.

Namun, rahsia dan ketentuan Allah, tiada ada tandingannya. Dalam jam sembilan malam, apabila bateri telefon bimbitku yang mati disebelah petangnya, sudah dicaj semula, ku dapati terdapat lima panggilan telah dibuat oleh agen umrahku kepada ku. Lalu, apabila berjaya menghubunginya, berita gembira tersampai kepadaku, kami sekeluarga, dengan izinNya, berjaya mendapat visa untuk menunaikan umrah pada tahun ini. Walaupun begitu, permohonan kami masih dalam proses namun peluang untuk pergi insyaAllah tinggi.

Alhamdulillah hi rabbil alamin
Segala puji bagiMu, tuhanku semesta alam
Engkaulah Yang Maha Pengasih lagi Maha Menyayangi

Menitis airmataku lagi....

Sunday, June 1, 2014

Ya Allah...dengarlah pintaku


Ya Allah, kasihanilah aku, Tuhanku yang Maha Mengasihani. 
Ya Allah, ampunkanlah dosa- dosaku, Tuhanku yang Maha Pengampun.
Ya Allah, dengarlah pinta hambaMu yang hina ini, yang mengharapkan belas kasihanMu.
Makbulkanlah pintaku, Ya Allah, Tuhan yang Maha Mendengar lagi Maha Berkuasa.

Ya Allah, terimalah aku dan rombongan keluargaku sebagai tetamu mu.
Permudahkanlah hajat kami untuk mengerjakan umrah minggu ini.
Kurniakanlah kami umrah yang mabrur.
Amin ya Rabbal Alamin.

Aku dan rombongan keluargaku masih menanti keputusan permohanan visa umrah kami...
Mengikut perancangan, kami insyaAllah akan bertolak ke Jeddah pada hari Sabtu, 07 Jun 2014.
Tapi masih menanti...Semoga hajat suci kami dimakbulkan Allah...


Thursday, May 29, 2014

Aku Anak Perak


                              
Semalam adalah hari kemangkatan Sultan Perak yang ke 34, Sultan Azlan Shah dan hari ini, Perak telah mendapat seorang Sultan yang baru, Raja Dr. Nazrin Shah, seorang terpelajar yang diharap dapat menunjukkan sikap terpuji dalam setiap urusan istana yang akan dipertanggungjawabkan ke atasnya.

Apa semua ini untuk aku, yang dilahirkan di Perak? Memang aku berbangga menjadi orang Perak walaupun Perak hanya ku ziarahi dua tiga kali setahun. Jikalau tidak kerana masih ada bapa- bapa saudaraku dan sepupu- sepupuku di sana, agaknya mungkin jumlah ziarah ku lagi berkurangan. Namun, ini tidak bermakna aku tidak sayang negeri kelahiranku ini mahupun sejarah negeri kebanggaanku...


Oleh itu, kemangkatan ini telah aku usahakan untuk diisi dengan membaca tentang susur galur takhta negeri Perak dari Sultannya yang pertama sehinggalah sekarang. Memang negeri kelahiranku ini kaya dengan sejarahnya...Baru kini ku kenal Tok Temong, Tok Saban selain Raja Abdullah, Datok Maharajalela dan Datok Sagor...ini semua membangkitkan kembali minatku kepada sejarah...Ya..aku berjanji untuk lebih membaca selepas ini...BERAZAM!


Tuesday, May 27, 2014

Rindu Menghambat Hatiku ke Sana Lagi


Rindu ini tidak bisa dibuang...rindu ini menghambat ku ke satu arah...rindu ini sungguh meruntun- runtun...Ya Allah! sungguh rindu aku untuk kembali ke rumahMu...menghela setiap nafasku di tanah haramMu, menjurus setiap roh, taubatku dan doaku kepadaMu... di satu tempat yang terlalu istimewa buatku...

Oleh itu Ya Allah...datanglah segala kemudahan untuk aku menjadi tetamuMu...datanglah segala keselenggaraan untuk perjalananku ke sana menjadi kenyataan....datanglah berita gembira bahawa akulah pilihanMu...tetamuMu...
Amin ya rabbal alamin...

Monday, May 26, 2014

Aku Mula Menulis


Memang aku minat menulis tetapi harus aku akui, semenjak aku memulakan tugasku di sebuah jabatan perhubungan pelanggan, masaku terasa amat pendek sekali. Jikalau ada kelapanganpun, ianya aku penuhi dengan bermenung- menung dan merenung- renung. Tiada upaya untuk aku memulakan tulisanku.

Namun kini, dengan izin Allah yang Maha Mendengar dan Maha Penyayang, di jabatan baru ku ini, adalah sedikit ruang masa dikurniakan Allah untuk aku meneruskan minat ku. Jadinya, nah..menulis aku bermula sekarang ini...Apa yang akan aku tuliskan selepas ini? Apa- apa aja yang terlintas di kotak pemikiranku. Harapanku agar semuanya mendatangkan manfaat buat semua dan tentunya diriku ini...